Wanita maut, anak cedera parah dirempuh lori ketika berhenti beli jambu

WhatsApp Image 2025 04 30 at 11.25.39 AM

KEADAAN kereta mangsa yang dirempuh sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak di sini.

KUANTAN – Perjalanan sebuah keluarga mengambil seorang anak mereka dari sebuah institusi pengajian tinggi di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah dirempuh sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menuju ke Paka, Terengganu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk membeli buah jambu di seberang jalan.

“Ketika pemandu dan isterinya cuba hendak melintas jalan tiba-tiba datang sebuah lori dari jalan arah yang sama hilang kawalan dan melanggar pemandu dan isterinya dan kereta yang berada di bahu jalan,”katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari susulan kejadian lima mangsa yang menaiki kereta berkenaan telah dibawa ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Katanya, kira-kira pukul 10.22 malam semalam seorang mangsa iaitu Umi Khaltom Mohamad Danyan, 41, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital manakala anak mangsa berusia lapan tahun cedera parah.

Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.- https://amiminerals.org/