Wanita buang anak belakang rumah dicekup

MEMBUANG BAYI WANITA DITAHAN

Bayi lelaki yang dijumpai di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan, Machang pada Sabtu lalu.

MACHANG – Seorang wanita dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan di belakang rumah pusaka keluarga angkatnya di Kampung Sungai Bedal, Temangan di sini pada Sabtu lalu ditahan polis semalam.

Wanita berusia dalam lingkungan 20-an yang masih bujang itu dicekup kira-kira pukul 3 petang semasa sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, wanita itu bagaimanapun sudah dilepaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 8 malam tadi selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini.

Menurutnya, bapa angkat suspek yang berusia 68 tahun kemudian membawanya pulang ke rumah mereka di Tanah Merah untuk menjalani tempoh berpantang.

“Siasatan mendapati, suspek mengaku bayi yang kini berusia lima hari itu merupakan anaknya.

“Dia bertindak meletakkan bayi tersebut di belakang rumah selepas bersalin sendiri di dalam tandas kerana panik apabila ibu bapanya pulang dari kebun yang terletak berhampiran rumah pusaka itu,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Ahmad Shafiki memberitahu, suspek sebelum ini ditempatkan di HSIP untuk rawatan lanjut, namun masih belum dapat bertemu dan memegang anaknya itu meskipun berada di hospital sama.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap wanita itu di hospital berkenaan turut mendapati keadaan mentalnya waras semasa melakukan perbuatan tersebut.

“Keadaan bayi itu juga sihat dan kini berada di HSIP. Pendakwaan terhadap wanita itu dijangka boleh dilakukan pada minggu depan selepas siasatan kes dilengkapkan,” katanya.

Tambah Ahmad Shafiki, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang wanita tergamak membuang bayi lelaki masih bertali pusat yang dilahirkannya di belakang rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan di sini sebelum melarikan diri ke rumah bapa angkatnya di Tanah Merah.

Wanita berusia itu bertindak demikian kerana takut tembelangnya yang menyembunyikan kandungan selama ini pecah dan diketahui oleh keluarga angkatnya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *