SEPANG – Ketua Polis Daerah Sepang baharu yang bakal dilantik kelak diharap dapat meneruskan kerjasama baik antara agensi dan masyarakat setempat.
Itu pesanan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Sepang, hari ini.
Menurutnya, kerjasama yang baik di antara warga ibu pejabat polis dengan masyarakat dapat membantu usaha memerangi jenayah.
“Saya percaya bekas Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof telah memupuk suasana harmoni sesama masyarakat dan buktinya hari ini ramai agensi lain hadir pada majlis ini.
“Saya berharap ketua Polis Daerah yang baharu dapat meneruskan usaha positif ini kelak,” katanya.
Terdahulu, Wan Kamarul Azran menyerahkan tugas Ketua Polis Daerah Sepang untuk dipangku sementara oleh timbalannya, Superintendan Shan Gopal Krishnan.
Wan Kamarul Azran yang telah memimpin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang selama empat tahun dan tujuh bulan akan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkuatkuasa 1 Oktober depan.
Sementara itu, Hussein berkata, Shan Gopal akan memangku jawatan itu sehingga pucuk pimpinan membuat keputusan. – https://amiminerals.org/