SEREMBAN – Tidak sanggup melihat tiga anak saudaranya ‘terbiar’ serta tidak bersekolah, seorang kelindan lori, Mohd. Ashraf Mohammad Shah, 26, sanggup mengambil tanggungjawab menjaga ketiga-tiga kanak-kanak itu.
Biarpun diri sendiri diulit masalah kewangan ditambah anak sakit, ia sedikit pun tidak menjadi halangan untuk membesarkan anak kakaknya yang berusia antara tiga hingga 10 tahun.
Mohd. Ashraf berkata, tiga anak saudaranya itu telah kematian bapa akibat Covid-19 empat tahun lalu dan sejak itu ibunya menghadapi tekanan perasaan.
“Saya tidak sanggup melihat anak-anak ini terbiar, ketika saya datang melawat mereka dengan ibunya di Melaka, tiga anak saudara saya belum makan. Kakak menghadapi tekanan kerana sebelum ini dia bergantung sepenuhnya kepada suami.
“Tiga beradik ini tinggal dalam rumah yang sempit dan tidak sesuai untuk pembesaran mereka, di situlah tempat makan, tidur. Bayangkan anak yang sulung sudah tidak bersekolah selama empat tahun,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Marida, Senawang di sini baru-baru ini.
Mohd. Ashraf dan isterinya, Noor Athirah Abdullah, 25, mempunyai empat anak berusia setahun hingga tujuh tahun. Anak ketiganya, Muhammad Aqil Iskandar, 3, menghidap masalah buah pinggang bocor dan darah tinggi dan perlu berulang-alik ke hospital setiap bulan.
Bercerita lanjut Mohd. Ashraf berkata, kehidupan mereka sekeluarga hanya cukup makan dengan isterinya menjual roti canai.
“Walaupun saya susah, saya yakin Allah akan bagi rezeki, itu yang saya pegang sejak jaga mereka tiga bulan lalu,” ujarnya.
Tambahnya, anaknya yang menghidap buah pinggang perlu minum susu khas dan kos agak tinggi RM400 sebulan tidak termasuk, lampin. Dia juga menyewa rumah RM700 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Athirah di talian 011-17452936 atau menerusi akaun bank CIMB 7073181380.