SUNGAI PETANI – “Walaupun Darwisy sakit, dia sangat mudah dijaga dan diuruskan sehingga akhir hayatnya. Kami reda dengan pemergiannya pada bulan mulia ini”.
Demikian kata Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun yang juga legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar mengenai kematian satu-satunya anak lelaki mereka, Muhammad Darwisy berusia setahun kira-kira pukul 3.15 pagi ini.
Menurut Nur Izyan yang merupakan seorang guru, dia menyedari ada yang tak kena selepas anaknya itu tidak memberi tindak balas ketika mahu memberi susu ketika berada di rumah di Resort Homes Cinta Sayang, di sini.
“Saya terkejut melihat keadaan anak dan terus memaklumkan kepada suami. Suami minta saya bersabar selepas mendapati muka anak berubah kebiru-biruan sebelum menghubungi ambulans.
“Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian memaklumkan bahawa Muhammad Darwisy telah meninggal dunia,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Katanya, Muhammad Darwisy dilahirkan pramatang dan mempunyai kembar iaitu Dhiya Dinara.
“Namun, Darwisy didiagnosis mengalami penyakit berkaitan jantung dan paru-paru serta perlu menggunakan mesin khas untuk membantunya bernafas. Dia perlu minum susu tiga jam sekali yang diberi menggunakan tiub khas,”ujarnya yang reda dengan ketentuan Allah itu.
Jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini sebelum disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Solihin di Taman Kelisa, di sini. – https://amiminerals.org/