KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Bagaimanapun Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Faham, tidak bersalah (mengaku tidak salah),”kata kedua-dua tertuduh secara berasingan ketika ditanya jurubahasa selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB dalam FashionValet.
Pada 28 November lalu, SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu berhubung kes kerugian pelaburan berkenaan.
Terdahulu SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi agak mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan sejak 2018 sehingga 2023.
SPRM dilaporkan membuat rampasan kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB untuk membantu siasatan. – https://amiminerals.org/