KOTA BHARU – Seorang wanita yang dipercayai mencuri beg duit milik pelanggan di Pasar Besar Khadijah di sini semalam diburu polis.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihak yang mengenali individu itu dan mempunyai sebarang maklumat atau individu tersebut itu sendiri diminta untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk membantu siasatan.
Menurutnya, sebarang maklumat berkenaan individu yang terlibat boleh disalurkan terus ke mana-mana balai polis berdekatan.
“Selain itu, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu, Sarjan Mohd. Syawal Abd. Mutolib di talian 014-677 5994 atau 09-775 2242,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 38 saat memaparkan tindakan suspek yang merupakan seorang wanita mencuri beg duit milik seorang pelanggan.
Menerusi rakaman tersebut, suspek pada awalnya memerhatikan gerak-geri mangsa yang sedang membeli barangan di sebuah gerai di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.
Semasa mangsa menundukkan badan untuk memeriksa barangan di dalam plastik, suspek kemudian bergerak ke arah belakangnya sebelum menyeluk bahagian dalam beg tangan dan membawa lari beg duit milik wanita itu. – https://amiminerals.org/
View this post on Instagram