SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menafikan video tular yang mendakwa sekali lagi kelibat harimau kumbang muncul kembali di Bukit Tangga, hari ini.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri berkata, melalui video tular berkenaan, penyebarnya mendakwa terdapat penampakan seekor harimau kumbang ditemukan di lokasi serangan pada Khamis lepas.
“Pagi tadi (semalam), pegawai dari Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Perhilitan Negeri Sembilan telah membuat pemantaun di lokasi dan mendapati tiada penampakan harimau kumbang dan disyaki kawasan dalam video viral bukannya di lokasi serangan tempoh hari.
“Pemantauan juga mendapati lokasi adalah berbeza dengan video yang ditularkan berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan video yang tidak ditentukan kesahihan kerana boleh menyebabkan kegusaran kepada orang ramai,”katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Semakan mendapati video tular berlaku pada 2021 dan dipercayai berlaku di Sarawak.
Untuk rekod, Khamis lalu, seorang pemandu lori berusia 50an parah di bahagian kepala susulan diserang harimau kumbang di Jalan Bukit Tangga-Seremban sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – https://amiminerals.org/