JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila dia dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang.
Menerusi dua rakaman video menunjukkan kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang hari ini.
Dalam rakaman pertama, kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran sebuah masjid di Jalan Ciku, Kota Masai, Pasir Gudang di sini.
Kedengaran suara seorang lelaki dewasa memberitahu budak jatuh longkang sambil merakam video dan seorang lagi lelaki dipercayai cuba menyelamatkan mangsa.
Menerusi rakaman kedua, kanak-kanak terbabit berjaya diselamatkan sambil berjalan dengan rakannya untuk pulang.
Dalam rakaman itu juga, suara lelaki memberitahu kanak-kanak terbabit dipercayai bermain hujan sebelum terjatuh ke dalam longkang.
Lebih meruntun hati melalui rakaman video itu, kanak-kanak lelaki merayu kepada perakam video itu agar menyelamatkan adiknya yang jatuh.
“Tolong bang, tolong, allahuakbar tolong adik saya, saya tidak mahu dia mati bang,”katanya menangis teresak-esak.
Kanak-kanak terbabit diselamatkan selepas tersangkut di dalam longkang sebelum dibawa naik.
Melalui komen di media sosial, ramai mempertikaikan perakam video berkenaan yang tidak berusaha menyelamatkan kanak-kanak itu. -https://amiminerals.org/