[VIDEO] Tayar pecah gara-gara bata atas jalan

WhatsApp Image 2024 11 11 at 12.23.59 PM

Gambar yang dikongsikan oleh Hafiz Razak memaparkan bata yang menyebabkan tayar kenderaannya pecah.

PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta yang dipandu terlanggar bata yang berada di atas jalan sehingga menyebabkan tayar pecah.

Menurut perkongsian video papan pemuka (dashcam) oleh Hafiz Razak di Facebook, ekoran kejadian itu, kenderaannya hilang kawalan namun dia dapat memberhentikan kereta dengan selamat.

Insiden ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai bahaya objek asing di jalan raya.

Beberapa netizen turut berkongsi pengalaman serupa termasuk tayar bocor dan kemalangan kecil disebabkan halangan seperti besi dan serpihan jalan.

“Pernah kena di lebuh raya menghala ke Seremban. Tidak nampak apa-apa atas jalan, tiba-tiba tayar berbunyi dalam berapa saat rim tayar rapat ke jalan. Mungkin terkena besi,” kongsi Putra Nadiah.

“Saya pula kena sebelum naik jambatan Pulau Pinang. Tayar bocor tapi sempat bawa dalam 25 kilometer sebelum jumpa kedai yang buka hari Ahad,” kata Fariz Razali.

“Saya pernah kena di lebuh raya selepas keluar dari Kajang menghala ke Kuala Lumpur, besi penyambung jambatan getah sudah tiada, nasib baik tidak laju,” tambah Sore Nami. -https://amiminerals.org/