[VIDEO] Tampar bukan Islam makan satu provokasi – Menteri Perpaduan

VIRAL TULAR RAMADAN TAMPAR BUKAN ISLAM

TANGKAP layar rakaman video tular seorang lelaki bukan Muslim mendakwa ditampar ketika sedang makan di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah terkemuka, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Insiden seorang lelaki bukan Muslim ditampar ketika makan di khalayak umum ketika bulan Ramadan merupakan tindakan provokasi dan tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara berbilang kaum.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta kerana melanggar prinsip Rukun Negara.

“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.

“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat yang seharusnya sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai Faham, Hormat dan Terima,”katanya dalam satu ciapan di platform media sosial X.

Tambah Aaron, mangsa yang dikenali sebagai Elijah telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi, di sini.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak polis akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Saya berharap semua pihak beri kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Isu-isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh. Kita tidak boleh biar sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia,”ujarnya.

Semalam, video berdurasi 32 saat dan 44 saat berkaitan insiden yang berlaku di sebuah kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini tular.