[VIDEO] Jala keli, haruan dan puyu atas lebuh raya

MENJALA IKAN LEBUH RAYA

Tangkap layar video yang dimuat naik di TikTok.

PETALING JAYA – Kejadian banjir yang berlaku di Kedah membuka pintu rezeki apabila penduduk setempat mengambil peluang menjala ikan di Kilometer (KM) 16 hingga KM18 laluan Jitra menghala ke Hutan Kampung.

Menerusi video yang dimuat naik di platform TikTok oleh pengguna bernama Muas, kelihatan beberapa individu gigih menangkap ikan menggunakan jala.

Kejadian banjir ini berlaku apabila air sungai dan kolam berhampiran melimpah membawa pelbagai jenis ikan ke jalan raya menjadikan kawasan tersebut ibarat ‘kolam sementara’.

Hasil tangkapan penduduk merangkumi beberapa jenis ikan seperti keli, haruan dan puyu.

Rata-rata netizen turut berkongsi pandangan di ruangan komen, dengan ada yang menyifatkan situasi tersebut sebagai unik dan luar biasa, manakala ada juga yang mendoakan akan keselamatan penduduk yang terjejas.

“Allah bagi rezeki ikut lain pula. Semoga dipermudahkan urusan mangsa-mangsa banjir. Gembira saja muka,” ujar ShedazPoksernt.

“Wah, banyaknya ikan. Ikan sungai sedap. Ikan sepat saya tak makan, tapi suka buat sambal,” tambah Kak Aina.

“Boleh cerita pada cucu nanti, dulu tokwan (datuk) pernah menjala atas lebuh raya,” kata Adila. – https://amiminerals.org/

@muas_ #banjircore #jitrakedah ♬ original sound – AhhShop53 – Shaaraishaaaa