MELAKA – Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dilaporkan hilang selepas keluar mencari lembu milik bapa saudaranya di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir, di sini semalam.
Mangsa, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, atau lebih dikenali dengan panggilan Gemuk tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 6.30 petang untuk menguruskan 13 ekor lembu seperti kebiasaan.
Ibunya, Siti Norehan Azhar, 38, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu mengambil upah menjaga ternakan tersebut sejak tiga tahun lalu.
“Gemuk memang anak OKU pembelajaran, tetapi dia tahu menggunakan telefon, (aplikasi) WhatsApp pun dia balas. Dia tidak pernah keluar merayau ke tempat lain, cuma ulang-alik uruskan lembu.
“Rutin dia selepas pulang dari sekolah akan keluar sabit rumput, urus lembu, kemudian pergi mengaji pada pukul 7.30 malam.
“Tapi semalam dia tidak keluar waktu itu dan pak ciknya segera mencari, tetapi tidak jumpa, panggilan telefon dan WhatsApp pun tak berjawab,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut wanita itu, Gemuk seorang yang pendiam dan tidak pernah melawan sekiranya dimarahi.
“Kalau (Gemuk) marah pun dia senyum saja, memang tidak pandai melawan. Dia tidak berkawan dengan orang lain, cuma rapat dengan pak ciknya sahaja,” katanya.
Jelas Siti Norehan, kehilangan anak lelakinya disedari apabila bapa saudara remaja itu mendapati mangsa tidak datang seperti biasa untuk mengurus lembu peliharaan mereka.
“Bila pak cik dia cari, dia tanya ‘Mana kau pergi Gemuk?’, selepas tu panggilan dan (kiriman) WhatsApp tak berjawab, memang tak pernah jadi macam ini sebelum ini,” katanya. -https://amiminerals.org/
View this post on Instagram