[VIDEO] ‘Betul ke pergi mall boleh dapat 1 juta pahala?’

WhatsApp Image 2024 12 23 at 5.16.39 PM

Penjelasan Ustaz Adnin mengenai persoalan yang tular di media sosial.

PETALING JAYA – Penjelasan penceramah bebas, Ustaz Adnin Roslan mengenai satu soalan viral di TikTok berkaitan ganjaran pahala ketika mengunjungi pusat beli-belah menarik perhatian ramai pengguna media sosial.

Seorang pengguna TikTok bertanya mengenai kebenaran tentang pergi ke pusat beli-belah boleh mendapatkan sejuta pahala.

Menjawab persoalan itu, Ustaz Adnin menjelaskan bahawa terdapat sebuah sunnah yang sangat mudah namun ganjarannya luar biasa besar apabila diamalkan.

“Yang sebenarnya, bila kita masuk pasar atau pusat beli-belah, Nabi SAW ada ajar kita satu zikir. Zikir ini dapat memberi ganjaran sejuta pahala, menghapuskan sejuta dosa, dan mengangkat sejuta darjat untuk kita,”katanya dalam video tersebut.

Menurut Ustaz Adnin, hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidzi menyebut bahawa sesiapa yang masuk ke dalam pasar, lalu mereka membaca zikir ini, maka Allah menetapkan sejuta kebaikan buatnya, menghapuskan sejuta kejahatannya, serta mengangkat kedudukannya sebanyak sejuta darjat.

Beliau turut menjelaskan mengapa ganjaran pahala yang begitu besar diberikan kepada mereka yang mengamalkan zikir di tempat seperti pasar atau pusat beli-belah.

“Tempat-tempat ini kan sering melalaikan, banyak kedai dengan poster mendedahkan aurat serta orang berpakaian terbuka. Namun, jika seseorang tetap berjaga-jaga dan mengingati Allah walaupun dalam situasi tersebut, ganjarannya sangat besar,”tambah Ustaz Adnin.

Sementara itu, di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkara yang serupa turut dijelaskan dengan menyatakan bahawa pasar-pasar sering dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh syarak seperti penipuan dalam jual beli, riba, lagha, dan kelalaian dari mengingati Allah.

Oleh itu, ganjaran yang besar diberikan kepada mereka yang dapat mengekalkan ingatan kepada Allah di tempat-tempat seperti ini.

Penjelasan santai dan mudah difahami ini mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang menghargai penjelasan beliau yang tidak hanya menenangkan hati tetapi juga memberi motivasi untuk terus mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. – https://amiminerals.org/

@adninroslan Masuk mall atau pasar, dapat 1 juta pahala?! #ustazadnin #tarbiahsentap #tiktokguru ♬ Tuhan Aku Ingin Hijrah (Chorus) – Tiktok – Adnin Roslan & Ruomei & Albert D