PETALING JAYA – Suasana sebuah majlis rumah terbuka menjadi kecoh dengan kemunculan seekor babi hutan di pekarangan kediaman tersebut sehingga mengejutkan tetamu yang hadir.
Dalam rakaman berdurasi 17 saat yang dikongsikan di Facebook, Dunia Haiwan Malaysia itu, pada awalnya haiwan berkenaan dilihat berkeliaran di bahagian parkir kereta.
Kemudian, babi hutan itu berjaya memasuki rumah tersebut meskipun cuba dihalang oleh beberapa individu sehingga menyebabkan ramai menjerit kerana takut diserang haiwan berkenaan.
Dapat dilihat beberapa tetamu di dalam rumah sempat memanjat sofa selain menggunakan payung sebagai penghalang diri daripada didekati haiwan tersebut.
Video tular itu mendapat lebih 350,000 tontonan dan pelbagai reaksi diberikan orang ramai di ruangan komen.
“Masa haiwan itu duduk luar, masih buat ‘lek wat peace’, lagi tak tutup pintu. Bila haiwan itu dah masuk rumah, hadap sahaja lah,” kata Firdaus Aziz.
“Maaf sangat buat tuan rumah, aku tak boleh tahan gelak. Dia (babi hutan) pun nak datang beraya,” kata Gordon.
“Habis la satu rumah nak kena sertu,” komen netizen yang lain. – https://amiminerals.org/