[VIDEO] Abang \’guard\’ dipuji, ke sana sini bantu pesakit

guard hospital serdang

Tangkap layar video seorang pengawal keselamatan Pusat Jantung Hospital Serdang membantu pesakit dan waris menunjukkan arah untuk mendapatkan rawatan.

PETALING JAYA – Kebaikan seorang pengawal keselamatan di Pusat Jantung Hospital Serdang yang tanpa penat melayan pertanyaan pesakit menarik perhatian pengguna media sosial sekali gus ramai memuji sikap lelaki tersebut.

Menerusi video dikongsikan oleh pengguna TikTok Rah Mat, dia menceritakan kebaikan pengawal keselamatan itu dikenali sebagai Kamarul sewaktu menunggu isterinya yang mempunyai janji temu bersama doktor, semalam.

“Saya perhati saja dari jauh abang pengawal keselamatan yang sedang bertugas. Rupanya bukan dibuat-buat. Abang ni bantu pesakit dan waris yang hadir untuk rawatan. Tak kira bangsa, umur atau jantina.

“Pesakit dilayan dengan penuh hormat, baik dan mesra. Setiap pertanyaan dilayan sebaik mungkin. Dia umpama kaunter informasi bergerak, ke sana sini tanpa henti membantu pesakit. Menunjukkan di mana tempat sepatutnya mereka pergi.

“Setiap pertanyaan dilayan tanpa jemu, sentiasa senyum melayan pesakit dan waris. Ke sana sini macam lipas kudung. Kehadirannya menjaga bahagian lobi utama ini, sedikit sebanyak membantu dan melegakan pesakit dan waris yang kadangkala tidak tahu atau perlu bantuan pendaftaran sebagainya,”katanya pada hantaran tersebut.

Rah Mat turut mendoakan kebaikan pengawal keselamatan tersebut dibalas oleh Allah SWT.

“Semoga Encik Kamarul dipermudah segala urusan, diberi kebaikan dunia dan akhirat, diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki. Teruskan berbuat baik,”katanya.

Susulan itu, pengawal keselamatan tersebut mendapat pujian daripada orang ramai dan mereka turut mendoakan kebaikan Kamarul.

“Kadang-kadang memang ada insan yang macam ni. Sangat komited dan tak kenal erti penat lelah. Mungkin individu itu rasa gembira bila dapat bantu orang,”komen Ajin.

“Ada urusan di hospital, kita tak faham sangat. Tak tahu di mana tempat nak dituju. Dengan adanya insan mulia ini, mudah urusan kita. Semoga urusan mereka juga dipermudah,”komen Nor Aishah Ahmad.

“Mereka adalah insan yang perlu dihormati dan diberi penghormatan selaysknya kerana mereka insan berjiwa besar,”ujar mohammadnazli7. – https://amiminerals.org/

@shxkxr99Hari ini isteri ada temujanji di Hospital Jantung Serdang, sambil saya tunggu saya rakam kebaikkan Pengawal Keselamatan Hospital Jantung Serdang, semoga kebaikkan beliau dibalas dengan kebaikkan.. 6/5/2025

♬ Touching – Yuda Pratama