Vida persoal tuntutan sita – Peguam

WhatsApp Image 2024 11 26 at 10.08.42 AM

Hantaran peguam Vida.

PETALING JAYA – Peguam kepada usahawan kosmetik terkenal, Dato’ Seri Vida (DSV), tampil mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan penyitaan kereta mewah milik anak guamnya yang dilaksanakan semalam. Tindakan tersebut dibuat susulan tuntutan hutang RM1 juta oleh seorang kontraktor.

Menurut peguamnya, Datuk Adnan Seman, DSV ketika ini berada di luar negara dan beliau telah menerima dokumen berkaitan pelaksanaan writ penyitaan yang dilakukan.

“Untuk rekod, saya bukanlah peguam yang dilantik mengendalikan kes tuntutan tersebut ketika penghakiman diperoleh oleh pihak penuntut melalui Keputusan Adjudikasi bertarikh 31 Mei 2019. Ketika itu, saya belum menjadi peguam kepada DSV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa anak guamnya mempersoalkan tuntutan tersebut dan langkah seterusnya akan dibuat selepas penilaian terhadap semua dokumen berkaitan dilakukan.

“Saya telah diarahkan oleh anak guam untuk menyatakan bahawa tuntutan tersebut sememangnya dipertikaikan dan saya akan meneliti semua dokumen berkaitan bagi menentukan tindakan seterusnya di sisi undang-undang,” tambahnya.

Terdahulu, laporan mengenai penyitaan kereta mewah milik DSV akibat hutang tertunggak sebanyak RM1 juta tular di pelbagai media sosial. Namun, sehingga kini, pihak DSV masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu. – KOSMO! ONLINE