PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub mencadangkan supaya tindakan lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu di papan tanda.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu berkata, tindakan tersebut termasuk golongan yang meremehkan penggunaan Bahasa Kebangsaan.
Menurutnya, negara inj yang sudah merdeka lebih setengah abad tidak sewajarnya terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa kerana sudah jelas Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil tindakan tegas menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota sepertimana yang dilaporkan media baru- baru ini.
“Langkah ini sewajarnya dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, sudah tiba masanya seluruh PBT menguatkuasakan undang-undang yang dimiliki dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pihak.
Katanya, ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Malah. penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong.
“Sebagai contoh, negara jiran Thailand menggunakan Bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut,”jelasnya. – https://amiminerals.org/