Ustaz Don ada 14 hari untuk merayu – JAIS

ustaz don 2

USTAZ Don. Foto oleh FAIZ ALIFF AHMAD ZUBIR/ KOSMO!

SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid diberikan tempoh 14 hari untuk membuat rayuan susulan penarikan tauliah mengajar di Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tempoh itu bermula dari tarikh surat penarikan tauliah dikeluarkan Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor pada 31 Julai lalu.

Ini bermakna tarikh akhir untuk Ustaz Don Daniyal berbuat demikian adalah pada 20 Ogos ini.

“JAIS mengesahkan tauliah mengajar negeri Selangor terhadap Ustaz Don Daniyal telah ditarik menerusi keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah Bil.1/2024 pada 24 Julai lalu.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut Subseksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan Exco Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah mengesahkan surat edaran rasmi Majlis Agam Islam Selangor (MAIS) berkaitan penarikan tauliah melibatkan lima individu termasuk Ustaz Don Daniyal, 41.

Mengikut surat edaran, tauliah mengajar bagi pendakwah selebriti tersebut adalah sepatutnya bagi tempoh 2 Julai 2020 hingga 30 Jun 2025.

Empat individu lain yang turut menerima nasib sama ialah Mohd. Shahabudin Md. Yatim, Mohd. Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd. Norhisyham Tuan Padang.

Sehubungan itu, kesemua masjid dan surau di Selangor tidak benarkan mengundang kelima-lima individu tersebut untuk mengajar.

Kosmo! pada 4 Ogos lalu melaporkan keputusan penelitian kenyataan bertulis Ustaz Don Daniyal berhubung isu kes ceramah agama akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Ustaz Don Daniyah sebelum ini diberi tempoh selama 14 hari untuk memberi ­kenyataan bertulis selepas disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu. -Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *