SHAH ALAM – Sentiasa meletakkan diri dalam tekanan sepanjang tempoh pengajian telah membuahkan hasil kepada graduan Management & Science University (MSU), Che Ku Nur Afiqah Che Ku Hashim apabila terpilih menerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada majlis konvokesyen universiti itu pada kali ini.
Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari itu, tekanan berlaku apabila dia perlu membahagikan masa di antara pengajiannya di kuliah serta penglibatannya dalam aktiviti di luar universiti, menjadikannya perlu bekerja keras lebih dua kali ganda berbanding rakan sekelasnya yang lain.“Ketika semester kelima, saya ambil sembilan subjek dan pada masa sama, saya aktif dengan melakukan kerja komuniti, aktiviti kelab dan lain-lain lagi.“Malah saya ke Youngsan University, Korea Selatan selama enam bulan pada semester keempat mewakili MSU untuk program pertukaran pelajar. Jadi, jadual saya sebagai pelajar memang padat,”kata anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu.Terdahulu, Canselor MSU yang juga Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Che Ku Nur Afiqah pada Majlis Konvokesyen MSU ke-34, di sini, pada hari ini.Che Ku Nur Afiqah yang kini baru sebulan bekerja sebagai cef di salah sebuah hotel terkemuka di Abu Dhabi, UAE berkata, dia akan menerokai dunia kulinari dengan lebih mendalam pada masa akan datang.Ujar gadis berusia 24 tahun itu, kulinari merupakan bidang yang diminati sejak di bangku sekolah, lantas berharap dapat membuka restoran sendiri pada masa akan datang.Sementara itu, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, seramai 2,477 graduan daripada 126 program pengajian yang bergaduasi pada sidang konvokesyen kali ini.Ujarnya, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional menyumbang bilangan kohort graduan terbesar pada konvokesyen kali ini, iaitu seramai 677 graduan.“Kami juga memperkenalkan satu anugerah baharu, Lifelong Learning Award iaitu anugerah kepada graduan universiti berumur 50 tahun ke atas yang mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian mereka.“MSU perkenalkan anugerah ini kerana kami melihat semakin ramai individu berusia yang belajar atau menyambung pengajian mereka di universiti.“Jadi kami lihat perlu ada pengiktirafan kepada graduan dalam kumpulan ini yang sanggup mencari ilmu dalam usia senja,”ujarnya. – https://amiminerals.org/