Urusan tukar mata wang motif lelaki parah bergaduh

IMG 20241220 WA0118

Tangkap layar kejadian tersebut.

KUALA LANGAT – Penipuan berkaitan urusan pertukaran mata wang asing dipercayai punca seorang lelaki parah di kepala dalam satu pergaduhan di Jenjarom di sini, semalam.

Kejadian melibatkan sekumpulan individu itu mengakibatkan mangsa berusia 40-an cedera akibat dipukul dengan kayu dan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor Hospital Banting, kira-kira pukul 10.50 malam tadi.

Jelas beliau, pengadu memaklumkan seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan serius pada kepala dan berada di zon merah hospital tersebut.

“Bertindak atas maklumat, polis memberkas enam lelaki tempatan berusia 25 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek yang ditahan di sekitar Kuala Langat dan Kuala Lumpur kini direman selama tiga hari sehingga Ahad ini,”katanya petang tadi.

Tambah Akmalrizal, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca penipuan dalam urusan pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada mata wang China.

“Polis setakat ini masih giat mengesan suspek lain yang terlibat dalam kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,”ujarnya. – https://amiminerals.org/