Upah RM100 bungkus satu kilogram dadah

polis rampas

Mat Zani (dua dari kiri) ketika menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Bukit Aman, hari ini. Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas sebanyak 269 kilogram (kg) dadah bernilai RM13.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Bandar Baru Seri Petaling, di sini baru-baru ini.

Dadah itu dipercayai milik sindiket pengedaran antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum dihantar ke Indonesia dan Hong Kong melalui perkhidmatan kurier.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, serbuan dilakukan pada pukul 5.30 petang, Isnin lalu hasil risikan pihaknya selama hampir dua bulan.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan di sebuah kopitiam berhampiran lokasi penyimpanan dadah tersebut.

Pemeriksaan di rumah sewa itu menjumpai 210kg ketamin, 55kg syabu (methamphetamine) dan 4kg ekstasi yang dibungkus dengan menggunakan bungkusan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah ini boleh merosakkan lebih sejuta individu jika terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, rumah teres dua tingkat itu disewa sejak November lalu pada kadar RM1,700 sebulan.

Ia dijadikan sebagai stor penyimpanan sebelum dadah tersebut diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Mat Zani berkata, suspek berusia 42 dan 43 tahun itu positif methamphetamine dan mempunyai rekod antaranya kes pecah rumah, rompakan dan dadah.

“Suspek dibayar RM100 bagi setiap kilogram dadah yang dijaga dan dibungkus. Dengan jumlah keseluruhan 269kg (dadah) itu mereka menerima gaji kira-kira RM26,900,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu.

Mat Zani berkata, pihaknya sedang memburu dalang sindiket itu yang dipercayai berada di Thailand dan menjadikan negara ini sebagai hub transit utama kemasukan dadah dari negara jiran melalui pintu sempadan di utara Semenanjung.

“Kita percaya sindiket ini mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan pada minggu lalu.

“Mereka menggunakan aplikasi seperti WeChat untuk berkomunikasi secara rahsia dan mengatur logistik,” katanya. – https://amiminerals.org/.