UNL: England rampas kedudukan pendahulu

ENGLAND

WATKINS membuka tirai jaringan England seawal minit ketujuh ketika menewaskan Greece pada aksi awal pagi semalam. – AFP

ATHENS – England terus menampilkan aksi positif di bahawa kendalian pengurus sementara, Lee Carsley selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Greece pada saingan Kumpulan 2 Liga B Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium Olimpik Athens awal pagi semalam.

Tiga gol menerusi jaringan Ollie Watkins, Curtis Jones dan gol sendiri Odysseas Vlachodimos memastikan skuad The Three Lions memintas kedudukan Greece bagi menerajui saingan Kumpulan 2 dengan perbezaan jaringan gol selepas terikat 12 mata.

Bagaimanapun, Carsley memberikan amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan tersebut meskipun mereka sudah berada dalam landasan terbaik menerusi kemenangan itu.

“Saya fikir keputusan malam ini (semalam) menunjukkan kami berada pada landasan yang betul tetapi kami tidak boleh terlalu gembira dan selesa. Selepas ini kami akan berdepan satu perlawanan besar di Wembley.

“Saya percaya semua pemain sudah tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan itu, namun apa yang paling penting sekarang adalah kami perlu berehat bagi mendapatkan tahap kecergasan terbaik,”katanya.

Meskipun tidak diperkuatkan ramai pemain utama, namun naib juara Eropah itu masih mampu menampilkan aksi terbaik menerusi pemain-pemain sedia ada, termasuk Jones, Lewis Hall dan Morgan Rogers yang melakukan penampilan sulung.

“Sangat penting untuk semua pemain bermain dengan kekuatan sendiri kerana kami memiliki ramai bakat. Saya terpaksa menggunakan setiap pemain yang ada walaupun ramai pemain utama tidak dipanggil,”ujar Carsley.

Dalam pada itu, Carsley akan mengemudi England buat kali terakhir ketika bertemu Republik Ireland 18 November ini sebelum menyerahkan pasukan kepada pengurus baharu, Thomas Tuchel yang memulakan tugas Januari nanti. – AGENSI