LONDON – Penyerang England, Dominic Solanke menggesa rakan sepasukan supaya melakukan kebangkitan menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Finland di Stadium Olimpik Helsinki awal pagi esok.
Skuad The Three Lions menampilkan aksi cukup mengecewakan ketika tewas mengejut 1-2 kepada Greece kelmarin selepas pengurus, Lee Carsley melakukan kesilapan percaturan pada perlawanan tersebut.
Justeru, Solanke percaya mereka tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan mana-mana pasukan sekiranya pemain-pemain England mampu mengeluarkan aksi sebenar dalam setiap perlawanan.
“Jika kami mampu berada pada prestasi terbaik, England tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan sesiapa sahaja. Semua orang tahu pasukan ini memiliki pemain berkualiti di semua posisi.
“Kadang-kadang kami gagal membuat perancangan dengan baik dan menyebabkan pasukan berdepan kesukaran. Sekarang kami ada satu lagi peluang untuk menebus kekalahan terdahulu, jadi kami tidak mahu mensia-siakannya,”katanya.
Pemain Tottenham Hotspur itu juga mengakui gembira dapat kembali ke dalam skuad kebangsaan buat kali pertama sejak 2017 dan sedia untuk memberikan segala-galanya bagi membantu England mencatat kemenangan.
“Saya sangat gembira kerana sudah lama tidak menyarung jersi skuad kebangsaan. Saya sentiasa teruja setiap kali beraksi bersama England kerana banyak persaingan dalam pasukan ini,”ujar Solanke. – AGENSI