PETALING JAYA – Universiti Al-Azhar, Mesir bersetuju untuk memberikan diskaun yuran pengajian kepada pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di institusi pendidikan berprestij itu.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dimuktamadkan hasil rundingan yang diadakan empat bulan lalu.
Katanya, pihak Universiti Al-Azhar bersetuju mengurangkan kos yuran daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 bagi tempoh lima tahun pengajian.
“Alhamdulillah, berita ini baru sahaja diterima. Insya-Allah saya akan mengarahkan MARA untuk segera menyediakan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk diangkat kepada Majlis Jemaah Menteri.
“Ia bagi membolehkan Mara kembali menaja pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Asyraf Wajdi memaklumkan Mara sedia mempertimbang untuk membiayai pelajar perubatan, pergigian dan farmasi ke Universiti Al-Azhar di Mesir.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, ia boleh dilaksanakan jika kos pengajian di universiti berkenaan jauh lebih murah daripada kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia dan mendapat tambahan diskaun daripada pihak terbabit. – https://amiminerals.org/