KANGAR – Pendekatan strategik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam merapatkan jurang dengan pihak industri berjaya menobatkan universiti itu sebagai penerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan reputasi UniMAP sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing.
Pemilihan bagi anugerah berkenaan dibuat menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha bersepadu dan komitmen tinggi seluruh warga universiti dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang selari dengan kehendak industri.
“Anugerah ini adalah bukti bahawa pendekatan strategik UniMAP dalam merapatkan jurang antara universiti dan industri membuahkan hasil.
“Kami percaya kepada pembangunan holistik graduan iaitu bukan sahaja daripada segi akademik, malah kemahiran insaniah, kepimpinan dan nilai profesionalisme,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kepercayaan syarikat multinasional kepada graduan UniMAP juga menunjukkan bahawa kurikulum universiti itu sentiasa relevan serta dinamik dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan seterusnya.
“Seiring dengan pencapaian ini, UniMAP menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan struktur dan kandungan kurikulum agar selari dengan perkembangan teknologi semasa dan tuntutan pasaran kerja global,”ujarnya.
Jelasnya, UniMAP akan terus memperkemas dan memperkasakan kurikulum dengan elemen terkini seperti teknologi digital, kecerdasan buatan, dan kemampanan.
“Hubungan strategik dengan industri juga akan diperluas untuk membuka lebih banyak peluang latihan industri dan penyelidikan kolaboratif,”jelasnya.
Tambahnya, UniMAP mencatatkan pencapaian membanggakan dalam SKPG 2024 apabila majoriti graduan berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh singkat selepas tamat pengajian terutama dalam sektor teknologi tinggi dan kejuruteraan. – https://amiminerals.org/