PETALING JAYA – Kerajaan sedang meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan dan pengantunan kanak-kanak.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peruntukan tersebut termasuk cadangan pindaan yang mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman jenayah seksual dalam era digital,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut adalah sempena lawatan beliau ke Uzbekistan bagi menghadiri Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025.
Pada lawatan itu, Azalina turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama bertajuk Creating a Safer Digital Future: Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection pada hari pertama forum.
Dalam ucaptama itu, beliau menegaskan bahawa walaupun kemajuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) membawa pelbagai manfaat kepada manusia, namun ia turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk eksploitasi baharu terhadap kanak-kanak, khususnya dalam talian.
“Justeru, saya telah menyeru komuniti perundangan antarabangsa untuk memikul tanggungjawab moral bersama dalam memastikan pihak yang terlibat dalam jenayah terhadap kanak-kanak dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.
“Masa depan digital mestilah bukan sahaja lebih pintar, tetapi juga lebih selamat, berperikemanusiaan dan adil kepada semua lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak,”katanya. – https://amiminerals.org/