Umpan tombong kelapa dapat kelah RM1,800

kelah

Mohd. Fadzilah menunjukkan ikan kelah yang berjaya dipancing di Gemencheh semalam.

TAMPIN – Seorang nelayan tidak sangka umpan tombong kelapa yang digunakannya mampu mendapat ikan kelah bernilai ribuan ringgit.

Mohd. Fadzilah Kadir, 60, dari Kampung Pasir Besar, di sini berkata, dia mendapati harga terkini ikan kelah boleh dijual pada harga RM5,000 bagi setiap sekilogram (kg).

Bagaimanapun katanya, dia hanya menjual ikan seberat 3.2kg itu pada harga RM1,800 berban­ding RM15,000 mengikut anggaran diberikan kerana menganggap itu mungkin rezekinya sempena Aidilfitri ini.

“Biasa pendapatan saya sebagai nelayan sekitar RM800 sebulan. Adalah dapat ikan baung, lampan dan juga udang. Masa dapat ikan kelah semalam, saya memancing di Sungai Muar yang terletak di belakang rumah.

“Saya guna joran untuk dapat udang, tiba-tiba rasa berat. Saya fikir labi-labi tapi saya tarik juga sehingga joran saya patah. Saya terjun ke sungai dari bot dan tarik tali pancing, alhamdulilah tak sia-sia dapat kelah,” kata­nya.

Ujar Mohd Fadzilah lagi, dia menjual ikannya itu kepada kenalan lelaki berbangsa Cina yang sebelum ini kerap mengingatkannya untuk segera menghubungi sekiranya mendapat ikan bernilai tinggi untuk dijual.

“Sepanjang lebih 40 tahun saya memancing ikan di lokasi ini, saya tidak pernah mendapat ikan kelah.

“Ini lah pertama kali. Sebelum ni ada dengar juga ada beberapa orang dapat kelah, namun dalam saiz yang kecil dari 800 gram hingga 1.5 kg,” katanya.