UMNO terbuka terima semula KJ, Shahril Hamdan

WhatsApp Image 2024 12 10 at 1.38.32 PM

Muhamad Akmal (tengah) ketika ditemui pemberita di Kampung Serongga, Pasir Mas hari ini. -Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

PASIR MAS – UMNO terbuka menerima semula bekas ahli yang dipecat atau digantung termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahril Hamdan dan ramai pemimpin lain untuk kembali menyertai parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun, bekas pemimpin dan ahli yang terlibat perlu mematuhi syarat kerana UMNO mempunyai struktur.

Menurutnya, sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menerima semula Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan bekas pemimpin parti itu baru-baru ini melambangkan jiwa besar beliau sebagai pemimpin nombor satu parti.

“Meskipun presiden dihentam teruk oleh Tajuddin, beliau (Ahmad Zahid) tetap menerima semula pemimpin itu.

“Sekiranya UMNO berada dalam satu keluarga, saya percaya kita mampu ditegakkan. UMNO tidak mampu untuk hilang walaupun satu kerana semua orang ada kekuatan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bergotong-royong membersihkan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) semasa Misi Bantuan Banjir Pemuda Barisan Nasional (BN) di Kampung Serongga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal memberitahu, bekas pemimpin dan ahli boleh kembali semula kepada UMNO sekiranya mereka masih sayangkan parti itu.

Menurutnya, beliau yakin lebih ramai bekas-bekas pemimpin akan kembali semula ke pangkuan UMNO selepas ini.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dibuang parti, tetapi akhirnya beliau pulang dan mengemudi UMNO selama 22 tahun.

“UMNO ini diibaratkan seperti keluarga. Kita mungkin beza pendapat, mungkin ini masanya untuk bertaut kembali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal menyangkal dakwaan pemimpin UMNO telah dicucuk hidung seperti yang didakwa oleh Khairy Jamaluddin

“Saya merupakan bukti pemimpin yang tidak dicucuk hidung. Saya sudah berapa kali berbeza pendapat dalam parti, namun perkara itu diraikan.

“Jika tidak, sudah tentu saya sudah dibuang parti,” ujarnya. – https://amiminerals.org/