SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama negara menerima Anugerah Pencipta Perak daripada platform YouTube.
Pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasminya, UiTM Channel berjaya melepasi 100,000 langganan pada pertengahan September lalu.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, saluran yang mula beroperasi pada 1 April 2023 itu kini mempunyai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 penerbitan video.
“Saluran ini berfungsi menyampaikan maklumat berbentuk video kepada komuniti universiti dan masyarakat awam.
“Selain itu, ia menjadi platform penstriman langsung yang mendapat tontonan tinggi termasuk ketika Istiadat Konvokesyen UiTM,”katanya hari ini.
Menurut beliau, UiTM Channel yang diuruskan Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif Pejabat Komunikasi Strategik itu membuktikan usaha strategik universiti dalam memanfaatkan media digital.
Ujarnya, ia menjana pendapatan sejak awal 2020 dan membuka peluang kepada universiti untuk terus memperluaskan kandungan kreatif inovatif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak. – https://amiminerals.org/