PETALING JAYA – Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) memperkasa lebih 5,000 komuniti luar bandar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares-Project RE_.
Sumbangan tersebut disalurkan melalui Program Satelit CSR Kuskop sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei.
Ia merupakan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, menerusi tunggak CSR UDA Cares – Project RE_, ia merupakan salah satu usaha berterusan syarikat dalam menyantuni dan memperkasa komuniti melalui program kemasyarakatan.
“Langkah ini diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda serta penduduk setempat seterusnya mewujudkan persekitaran yang positif.
“Usaha ini juga selari dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa),”katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, Program Satelit CSR Kuskop turut menampilkan Program Halal Success Kuskop dan Program Bicara Ilmu & Jom@Coop.
Menerusi UDA Cares-Project RE_, ia merangkumi kerja membaik pulih serta pemasangan empat unit lampu solar di gelanggang futsal, membaik pulih Perpustakaan Desa, pemasangan dua unit lampu solar di pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pemasangan empat unit lampu solar di Jeti Kampung Mentadak Baru di Pulau Sebatik, Tawau, Sabah.
Memetik kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, beliau menghargai komitmen daripada UDA.
Beliau turut menekankan kepentingan agensi dan sektor korporat lain untuk lebih proaktif menyokong pembangunan infrastruktur dan kualiti masyarakat khususnya di luar bandar.
“Usaha ini amat penting untuk menjayakan agenda pembangunan negara menerusi aspirasi Malaysia Madani khususnya dalam aspek kesejahteraan demi kepentingan semua,”katanya. – https://amiminerals.org/