UCL: Krisis kecederaan benteng resahkan Real

REAL

TCHOUAMENI mungkin perlu memainkan peranan penting sebagai bek tengah Real untuk mengekang asakan jentera serangan City awal pagi esok. – AFP

MADRID – Pakar aksi Liga Juara-Juara, Real Madrid bakal turun membuat perhitungan dengan Manchester City untuk aksi playoff Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi esok dengan prestasi yang tidak begitu sempurna.

Selepas tewas kepada Espanyol, mereka hanya meraih kemenangan tipis ke atas Leganes pada aksi Piala Raja Sepanyol sebelum terikat 1-1 menentang Atletico Madrid pada aksi derbi kelmarin.

Isu kecederaan di bahagian benteng pertahanan benar-benar mengganggu perancangan pengendalinya, Carlo Ancelotti dan terbaharu mereka kehilangan Lucas Vazquez selepas Antonio Rudiger juga dikhabarkan tidak sempat pulih.

Ketika ini, The Galacticos memiliki senarai lima pemain yang mengalami kecederaan dan kesemua mereka adalah pemain yang beraksi di posisi pertahanan menyebabkan Ancelotti perlu mencari jalan untuk memastikan pasukan itu mampu kekal memberikan cabaran.

Ketika ini, Real sudah kehilangan Dani Carvajal dan Eder Militao yang tidak sempat pulih sehingga hujung musim, manakala David Alaba yang baru pulih tidak cergas selepas 13 bulan berehat.

Rudiger yang mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Espanyol tidak menunjukkan tanda-tanda positif untuk kembali dalam masa terdekat, manakala Vazquez yang berada dalam senarai ke Etihad terpaksa disisihkan ekoran kecederaan terbaharu itu.

Situasi berkenaan menyebabkan Ancelotti terpaksa membuat percaturan berbeza dengan mengharapkan dua pemain tengannya, Raul Asencio dan Aurelian Tchouameni untuk beroperasi di bahagian pertahanan tengah.

Posisi Vazquez sebagai bek kiri pasukan itu mungkin akan diisi sama ada Fran Garcia atau Ferland Mendy, namun Ancelotti terpaksa mengarahkan Federico Valverde untuk membantu, sementara di bahagian midfield beliau terpaksa mengharapkan kudrat Luka Modric serta Eduardo Camavinga yang sudah pulih daripada masalah kecederaan. – AGENSI