BARCELONA – Skuad Barcelona agak tempang menjelang perlawanan pertama Liga Juara-Juara (UCL) bertemu AS Monaco awal pagi esok selepas kehilangan khidmat dua tonggak tengah, Dani Olmo dan Fermin Lopez.
Sebagai rekod, Olmo telah mengalami kecederaan hamstring ketika membantu pasukan menewaskan Girona minggu lalu dan terpaksa disisihkan selama lima minggu.
Sementara itu, Lopez pula mengalami kekejangan otot pada sesi latihan awal minggu ini selepas baru pulih daripada kecederaan susulan jadual padat yang diharungi ketika mewakili Sepanyol dalam kempen Euro 2024 dan Sukan Olimpik 2024 baru-baru ini.
Selain itu, lima lagi pemain utama The Catalan seperti Gavi, Frenkie de Jong, Marc Bernal, Ronald Araujo dan Andreas Christensen masih lagi dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan jangka panjang.
Pemain tengah Barcelona, Pedri mengakui situasi itu bukanlah alasan buat pasukan untuk beraksi sambil lewa sebaliknya fokus untuk meraih tiga mata sekali gus memulakan kempen UCL dengan langkah kanan.
Kata Pedri, pasukan kini sudah semakin selesa dengan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Hansi Flick selepas merekodkan lima kemenangan berturut-turut di peringkat domestik sebelum ini.
“Saya percaya barisan pemain akan meneruskan momentum cemerlang seperti yang ditampilkan pada lima perlawanan lepas meskipun tanpa kehadiran beberapa pemain utama. Kami juga sudah faham falsafah Flick yang begitu serasi dengan pasukan,” katanya. – AGENSI