KUALA SELANGOR – “Kemukakan bukti dan bukan sentimen”
Demikian tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari terhadap mana-mana anggota atau pimpinan yang masih mendakwa pemilihan peringkat cabang atau pimpinan pusat bagi sesi 2025-2028 tidak adil atau dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Kata Amirudin, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR telah melakukan semula proses pengundian semula pun di beberapa Cabang yang kita dapati mempunyai kesan seperti didakwa itu.
Katanya, beberapa proses audit menyeluruh juga telah dibentangkan dalam menjamin proses pengundian dilakukan secara adil.
“Tetapi jika mereka masih lagi dapati beberapa bukti bukan sangkaan, kena buktikan.
“Kita telah lalui proses JPP termasuk proses pengundian semula pun di beberapa Cabang yang kita dapati ada kesan. Itu bukti kita telah cuba yang terbaik untuk memastikan sebarang kebarangkalian.
“Tetapi dakwaan itu dan ini masih boleh dibuat mereka yang masih kecewa atau tidak berpuas hati namun perlu diamalkan dengan bukti dan bukannya permainan sentimen atau hujahan tidak jelas,”katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang didedahkan dalam siaran langsung audio siar ‘Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?’ apabila mendakwa Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa gagal mengendalikan pemilihan parti itu.
Rafizi menjelaskan Zaliha gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan berlaku kepincangan yang wujud di peringkat cabang dan menyatakan kebimbangan terhadap gelombang keahlian baharu selepas PKR menguasai Putrajaya. – https://amiminerals.org/