KUALA LUMPUR – Tujuh wanita Uganda yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks serendah RM150 bagi satu sesi dicekup menerusi Op Noda di sekitar Jalan Nagasari dan Jalan Changkat di sini, semalam.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kesemua wanita berusia dalam lingkungan 25 hingga 42 tahun dipercayai menjalankan aktiviti persundalan di kaki lima sebuah hotel dengan menyasarkan lelaki warga asing.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya turut merampas 12 keping kondom, dua gulung tisu dan wang tunai berjumlah RM450.
“Pemeriksaan mendapati wanita tersebut mencari pelanggan di sekitar Jalan Nagasari yang merupakan kawasan tumpuan kepada lelaki warga asing.
“Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan menawarkan bayaran sebanyak RM150 hingga RM200,”katanya selepas operasi selesai dijalankan.
Operasi bermula pukul 11 malam itu dijalankan oleh KL Strike Force membabitkan pegawai dan anggota Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Rusdi berkata, dalam operasi tersebut, seramai 33 individu diperiksa membabitkan tujuh wanita Uganda, lelaki Bangladesh (sembilan), wanita Indonesia (empat) termasuk 13 warga tempatan.
Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah yang terlibat.
Dalam pada itu, pihak DBKL turut mengeluarkan satu notis kompaun dan melaksanakan lima kes sitaan sepanjang operasi dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 20 (1)(b) Undang-undang Kecil Tred,”jelasnya. – https://amiminerals.org/