Tujuh nelayan positif dadah, tiga vesel ditahan

WhatsApp Image 2025 01 17 at 9.46.02 AM

Anggota AADK ketika menjalankan pemeriksaan di lokasi Ops Bersepadu di Teluk Kumbar semalam.

GEORGE TOWN – Tujuh daripada 25 nelayan yang diperiksa dalam ops bersepadu yang dijalankan di sekitar Teluk Kumbar di sini semalam didapati positif dadah.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, dalam ops bersepadu itu juga tiga Vesel Nelayan Tempatan (VNT) bersama sembilan kru turut ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Pulau Pinang.

“Seramai 51 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi yang memfokuskan pemeriksaan di perairan Teluk Kumbar dan jeti pendaratan ikan di sekitar kawasan tersebut.

“Sebanyak 25 nelayan telah menjalani ujian saringan air kencing dan tujuh daripada mereka didapati positif dadah. Penahanan ini adalah hasil maklumat risikan serta aduan awam,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga vesel nelayan bersama sembilan kru turut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat lesen dan menangkap ikan di kawasan larangan.

“Operasi ini adalah usaha berterusan Maritim Malaysia bersama agensi lain untuk memelihara keselamatan perairan dan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti maritim di negeri ini,”katanya.

Razali berkata, ops bersepadu seumpama ini akan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pengusaha bot nelayan tempatan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi seperti ini demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan perairan negara,”katanya. -https://amiminerals.org/