PETALING JAYA – Sebuah bangunan kedai dua tingkat di Taman Medan Maju Jaya, di sini nyaris musnah apabila tingkat atas premis tersebut terbakar dalam kejadian malam ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.26 malam.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada pukul 9.33 malam.
“Kebakaran melibatkan tingkat atas sebuah bangunan kedai dua tingkat kelas A yang memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur di bahagian atas bangunan.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.05 malam oleh pasukan bomba yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 18 anggota dengan kekuatan tiga balai iaitu BBP Jalan Penchala, BBP Petaling Jaya dan BBP Puchong bersama empat jentera termasuk dua jentera FRT, satu unit EMRS dan sebuah lori tangki air. – https://amiminerals.org/