MARANG – Demi minat mendalam, seorang lelaki sanggup menutup bengkel kimpalan yang menjana pendapatan puluhan ribu ringgit setiap bulan untuk menjadi pembuat pisau sepenuh masa sejak tujuh tahun lalu.
Mohd. Walid Jalaluddin Abu Osman, 37, berkata, dia yang mengusahakan bengkel kimpalan sejak tahun 2009 mula tertarik dengan seni pembuatan pisau ekoran mengagumi koleksi arwah bapanya, Abu Osman Ibrahim pada kira-kira 11 tahun lalu.
“Arwah ayah saya semasa hayatnya merupakan tukang sembelih yang memiliki banyak koleksi pisau.
“Saya ambil inisiatif berguru dengan beberapa tukang pembuat pisau di sekitar negeri ini untuk belajar pembuatannya pada tahun 2014,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Gong Nangka di sini semalam.
Mohd. Walid Jalaluddin berkata, pada mulanya, dia menghasilkan pisau sebagai pendapatan sampingan sebelum nekad menjadi pembuat pisau sepenuh masa pada tahun 2018.
Katanya, antara faktor lain menyebabkan dia nekad bertukar kerjaya daripada pengusaha bengkel kimpalan kepada pembuat pisau ialah bagi meluangkan lebih masa dengan keluarga.
“Masa ada bengkel kimpalan dahulu, pendapatan bulanan saya mencecah RM30,000 tetapi kurang masa bersama isteri, Azlina Abdullah, 37, dan anak-anak yang masih kecil.
“Kini walaupun gaji saya sudah berkurang kepada lebih RM2,500 sebulan, jiwa saya tenang dan dapat selalu bersama isteri dan anak-anak berusia dua hingga 10 tahun,” katanya.
Mohd. Walid Jalaluddin berkata, bengkel pembuatan pisau diusahakan hanya terletak di sebelah rumah yang dibina sedikit demi sedikit sebelum siap sepenuhnya pada bulan November tahun lalu.
Dia berkata, banyak tempahan diterimanya ialah membuat pisau sembelih melapah, pisau lasak, parang serta kapak tulang.
“Kesemuanya dijual pada harga antara RM100 dan RM400 sebilah mengikut jenis dan ukuran.
“Biasanya tempahan akan naik mendadak dekat Hari Raya Aidiladha bagi ibadah korban membolehkan pendapatan saya juga tinggi tempoh itu,” ujarnya.