KEMAMAN – Hajat tiga pemuda untuk menyertai Perhimpunan EX5 Members di Kuala Nerus tidak kesampaian apabila mereka maut dalam dua kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Kerteh di sini hari ini.
Kemalangan pertama mengorbankan Mohamad Alif Haikal Mohd. Razali,18, dan Muhammad Aliff Haiqal Abdullah, 23, yang berlaku di Kilometer 322.4 pada pukul 6.35 pagi.
Seorang lagi mangsa, Nur Hamizul Abu Bakri, 22, pula meninggal dunia dalam nahas di Kilometer 316.8 pada pukul 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati motosikal Honda EX5 yang ditunggang Mohamad Alif Haikal dari Bandar Tun Razak, Pahang dan Muhammad Aliff Haiqal dari Kampung Alai, Melaka bergesel.
“Ekoran itu, motosikal mereka hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian. Kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan memberitahu, nahas kedua menimpa Nur Hamizul selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya.
“Mangsa yang berasal dari Ulu Slim, Perak meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk dibedah siasat,”katanya.
Difahamkan, Perhimpunan EX5 Members yang mengumpulkan peminat motosikal Honda EX5 sedang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus selama dua hari sehingga esok. – https://amiminerals.org/