SUBANG JAYA – Polis sedang giat mengesan tiga lelaki yang disyaki terlibat kes tetak seorang lelaki sehingga parah dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seramai tiga individu diambil keterangan termasuk seorang wanita yang merupakan bekas isteri kepada salah seorang suspek.
“Usaha mengesan kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an masih dijalankan,”katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, semakan mendapati seorang suspek yang juga bekas suami kepada kekasih mangsa mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki cedera parah di bahagian badan dan kepala selepas dipukul dan ditetak suspek menggunakan pisau dan batang besi.
Menurut Wan Azlan, kejadian dipercayai berpunca akibat masalah rumah tangga dan cemburu. – https://amiminerals.org/