GERIK – Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan Kampung Air Ganda, di sini semalam.
Ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 28 hingga 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Gerik yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, tangkapan terhadap kesemua suspek dibuat selepas terserempak kenderaan dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemerhatian terhadap gerak-geri kumpulan lelaki itu mendapati mereka turun dari kenderaan dan membuka penutup lubang bawah tanah serta memotong kabel milik TM.
“Tangkapan dibuat terhadap suspek dan berjaya merampas sebuah kereta, pencangkuk pembuka, pencangkuk berserta tali, spanar, pemotong kabel dan tukul besi.
“Hasil siasatan mendapati, suspek cuba memotong kabel bawah tanah dan akan menariknya pada waktu malam,”katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang memiliki rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis syabu. – https://amiminerals.org/