Tiga hari hilang, lelaki ditemui mati dalam longkang depan kubur

A680575C AD30 4D0B 8B43 BA72D91CB9D3

MAYAT seorang lelaki yang ditemui dalam longkang sedalam 1.2 meter berhadapan sebuah tanah perkuburan di Jalan Kampar-Tapah, Kampar pada pukul 1.25 pagi tadi. – Foto IHSAN JBPM

KAMPAR – Mayat seorang lelaki Izrul Husin, 42, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemui dalam sebuah longkang sedalam 1.2 meter bersama sebuah motosikal jenis SYM berhadapan sebuah tanah perkuburan di Jalan Kampar-Tapah di sini pada pukul 1.25 pagi tadi.

Kehilangan mangsa telah disedari rakannya yang sedang melakukan pencarian selepas dia tidak pulang ke rumah selama beberapa hari.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.30 pagi untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa ditemui di dalam longkang sedalam 1.2 meter bersama sebuah motosikal jenis SYM dipercayai miliknya.

“Ketua operasi mengarahkan tindakan operasi dilakukan dengan melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung,”katanya di sini hari ini.

Katanya, keadaan mayat mangsa masih sempurna namun kecederaan yang dialami tidak dapat dipastikan kerana telah hilang sejak Khamis lalu.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.52 pagi,”katanya. – https://amiminerals.org/