JOHOR BAHRU – Sindiket along yang menyasarkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura sebagai mangsa, tumpas apabila tiga ahlinya ditahan dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini, pada 14 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga suspek ditahan merupakan lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 31 tahun.
Menurut beliau, mereka turut mengambil upah melaksanakan kegiatan menyimbah cat dan melakukan ugutan jenayah, termasuklah mengunci kediaman mangsa.
“Kumpulan ini telah bergiat aktif sejak sebulan lalu, dengan menerima bayaran RM500 sebagai upah melakukan tugas-tugas buat sindiket along.
“Turut dirampas sebuah motosikal dan peralatan digunakan seperti telefon bimbit, botol cat, pelitup muka dan pelbagai alat tulis. Turut dirampas beberapa paket lutsinar dipercayai dadah,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, ujian urin dibuat mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis THC.
“Dengan penahanan ketiga-tiga suspek, kita percaya telah menyelesaikan lapan kes dengan modus operandi sama, melibatkan enam di Johor Bahru dan dua di Batu Pahat.
“Semua suspek kini ditahan reman dan bakal didakwa dengan lapan pertuduhan di Mahkamah Johor Bahru, esok mengikut Seksyen 427 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,”jelasnya. – https://amiminerals.org/