PETALING JAYA -Tindakan mana-mana pihak yang menyarangkan penggantian Senator Datuk Mohd. Na’im Mokhtar sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Datuk Dr. Luqman Abdullah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan susulan isu penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti dianggap sebagai suatu saranan yang tidak sepatutnya dibangkitkan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, pihaknya menggesa mana-mana pihak agar menghormati usaha yang diambil oleh kerajaan untuk menggubal RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bertujuan bagi memartabatkan dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Datuk Mohd. Nai’m Mokhtar dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Senator berdasarkan Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan manakala pelantikan sebagai Menteri adalah berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Mufti Wilayah Persekutuan dilantik oleh baginda berdasarkan Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].
“Kedua-dua tokoh kepimpinan ini telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam menurut undang-undang dan perlembagaan,”jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Syed Kamarulzaman, sewajarnya mana-mana pihak perlu menghentikan sebarang tindakan menghasut atau menanam kebencian dalam kalangan masyarakat Islam dengan segera, khususnya kedudukan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mufti Wilayah Persekutuan kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.
“Perbezaan pandangan perlu ditangani dengan sifat toleransi (tasamuh) dan beradab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani,”katanya. – https://amiminerals.org/.