\’Tiada pilihan kena naik RM2 harga nasik lemak\’

santan 1

Laporan Kosmo! baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pengusaha nasi lemak di negeri ini dikatakan tiada pilihan lain apabila mereka terpaksa menaikkan harga nasi lemak sehingga RM2 sebungkus pada awal tahun depan sekira­nya harga santan berterusan naik.

Rata-rata peniaga mendakwa yang mereka ketika ini masih mampu bertahan meskipun berdepan dengan beberapa siri kenaikan harga santan sejak awal bulan ini.

Seorang pengusaha nasi le­mak Umi, Norita Ismail, 65, ber­kata, berlaku kenaikan harga santan dari RM10 sekilogram kepada RM11 hingga RM12 sekilogram sejak awal minggu lalu.

“Santan antara bahan utama dalam penyediaan nasi lemak. Setiap hari kami memerlukan enam hingga tujuh kilogram santan untuk 1,000 bungkus nasi lemak yang kini dijual pada harga RM1.50 sebungkus.

“Awal tahun ini, santan dijual antara RM8 hingga RM9 sekilogram. Kenaikan berlaku secara mendadak. Sekiranya masih ber­terusan naik, kami tiada pilihan untuk menaikkan sehingga RM2 sebungkus awal tahun depan.

“Kami tidak tergamak naikkan harga nasi lemak secara tergesa-gesa. Kami juga fikirkan situasi kewangan yang dihadapi pengguna.

“Mungkin (kenaikan berlaku) selepas Hari Raya Aidilfitri tahun depan, jika harga santan naik berterusan,” ujarnya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Norita memberitahu, mereka kini bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga santan malah bahan-bahan utama lain seperti beras, ikan, ikan bilis, cili kering dan bawang besar.

Seorang lagi peniaga nasi lemak, Ilyana Mohamad, 39, berkata, dia sudah tidak sanggup menanggung kerugian ekoran kenaikan harga santan dan beberapa bahan lain yang dikatakan berlaku sejak awal bulan lalu.

“Mungkin saya akan tetapkan harga baharu bagi nasi lemak ikan bilis dan ikan iaitu RM1.80 daripada RM1.50 sebungkus, namun kuantiti lauk dan nasi masih sama.

“Peniaga santan hanya memaklumkan akan kenaikan bahan tersebut tapi mereka tidak beritahu punca sebenar kenaikan berlaku.

“Ketika ini, harga santan yang dijual di pasaran terutama di pasar awam tidak sama iaitu antara RM12 hingga RM15 sekilogram,” ujarnya.