SUBANG JAYA – Polis tidak menemui sebarang mayat atau bahagian badan akibat rentung dalam kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah melakukan semakan semula termasuk terdapat maklumat ada mangsa terjun ke Sungai Klang yang terletak 50 meter dari salah sebuah kawasan kampung.
Katanya, pencarian telah dilakukan menerusi bot Pasukan Polis Marin (PPM) hari ini daripada Kuala Sungai Klang hingga ke lokasi yang diperkatakan itu namun tidak menemui sebarang mayat.
“Pemeriksaan awal bahagian permukaan kawah itu tidak menjumpai apa-apa bahagian badan.
“Malah khidmat anjing pengesan (K9) telah digunakan selain semakan menggunakan unit forensik termasuk di rumah-rumah ditinggalkan namun tidak jumpa mayat atau orang sakit,”katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan terdapat warga emas yang rentung akibat kebakaran saluran paip gas itu.
Justeru, Hussein menegaskan, pihaknya memerlukan masa untuk pengorekan lubang dan melihat isi dalamnya.
“Buat masa ini, kita tahu ada satu exvacator terbenam dalam lubang itu. Adakah sewaktu terbenam ada orang dalam itu atau tidak, kita perlukan siasatan lanjut.
“Sekarang perlu stabilkan dulu kawasannya dan kerja pengorekkan akan dilakukan mulai 15 April ini,”katanya. – https://amiminerals.org/