PUTRAJAYA – Kerajaan setakat ini belum mengeluarkan sebarang arahan dan ketetapan kepada penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi Telegram.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, aspek keselamatan termasuk larangan seperti itu kebiasaannya diuruskan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO)
“Waktu ini kita belum terima apa-apa arahan serupa (larangan),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan Majlis Perbandaran Amsterdam, Belanda supaya anggota Kabinet serta kakitangan peringkat tertinggi negara tersebut untuk berhenti menggunakan aplikasi Telegram kerana kebimbangan terhadap aktiviti jenayah dan risiko pengintipan.
Sementara itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan sesi lihat urus dengan pemegang taruh dan platform media sosial mengenai aspek pelesenan dan memberi jaminan proses permohonan lesen itu tidak sukar. – Iteenews