PETALING JAYA – Pengorbanan besar dan sokongan kuat ibu bapa serta guru menjadi kunci kejayaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan di seluruh negara semalam.
Anak penoreh getah, pengawal keselamatan, tukang masak, tukang jahit, petani dan nelayan antara yang berjaya meraih A dalam semua mata pelajaran.
Hidup dalam keluarga susah selain berdepan pelbagai ujian kesihatan dan keadaan diri yang serba kekurangan, tidak menjadi penghalang untuk mereka mencapai kejayaan.
Di Pontian, Johor, kesusahan ibu bapa mendorong pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, Muhammad Fais, 18, berusaha keras mencapai kejayaan sehingga memperoleh 9A dalam SPM 2024.
Katanya, hatinya tersentuh melihat ibu, Suheni Suyono, 49, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan dengan gaji RM90 sehari, manakala bapanya, Mohd. Jumaat Kurdi, 53, bekerja sendiri di kampung dengan pendapatan tidak menentu.
“Saya anak sulung dua beradik, jadi besar harapan mereka mahu saya berjaya dan hari ini alhamdulillah saya dapat buktikan dan hadiahkan kejayaan ini untuk mereka,” katanya.
Di Kuala Nerus, Terengganu, seorang anak pengawal keselamatan berjaya memperoleh 9A+ dalam SPM 2024.
Amirul Bukhari Aminuddin, 18, dari SMK Ibrahim Fikri berkata, biarpun ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu pula tukang jahit, mereka amat mementingkan pelajaran.
“Terima kasih juga kepada guru-guru yang banyak mendidik,” katanya.
Di Seremban, Negeri Sembilan, Nur Aminah Hessa Mohd. Ashik, 18, dari SMK King George V, di sini, yang mendapat kesemua 9A berkata, guru-guru banyak berkorban dengan mengadakan pelbagai program serta kelas tambahan untuk pelajar.
“Untuk cemerlang, kita kena percayakan guru. Ikut segala program, tak kisahlah penat atau lama, akhirnya guru-guru juga yang tahu apa yang terbaik buat kita,” katanya.
Selain itu, R Pravieen, 18, dari sekolah sama berkata, amalan menghormati guru serta tidak sesekali menyakiti hati mereka menjadi rahsia kejayaannya.
“Tanpa berkat cikgu, kita tak akan jadi sesiapa, pandai mana pun kita, kalau cikgu dah terasa atau pun sakit hati dengan kita, kita tak akan berjaya,” katanya.
Di Tumpat, Kelantan, seorang pelajar SMK Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan di sini, membuktikan kecacatan kudung kedua-dua belah jari tidak menghalangnya untuk meraih 5A.
Malah Aishah Isham Nudin, 18, calon berkeperluan khas tekad melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mahu mengubah nasib keluarga.
Dia mahu membalas jasa ibu Suriati Mohd. Harun, 47, yang telah bersusah payah bekerja sebagai pembantu kedai bagi memastikan pelajarannya tidak terabai.
“Ayah meninggal dua tahun lalu, sejak itu, ibu yang banyak berkorban untuk saya,” katanya.
Di Ipoh, Perak, seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran berjaya memperoleh 10A.
Lee Wan Lin, 18, berkata, sokongan penuh daripada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan banyak membantunya untuk berjaya.
“Saya mulai sedar yang saya mempunyai masalah pendengaran ketika di tingkatan satu dan mula menggunakan alat bantu pendengaran,” katanya.
Di Lipis, Pahang, seorang anak penoreh getah yang berjaya mendapat 9A amat berterima kasih kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban,
Noor Hafisah Ismail, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah, Dong dekat Raub berkata, ibu bapanya, Ismail Samad, 58, dan Radiah Ismail, 56, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.
“Namun mereka tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak. Saya selalu terfikir, kalau saya tidak berusaha, siapa lagi yang akan bantu keluarga kami keluar daripada kesusahan ini.
“Saya beri 100 peratus tumpuan di kelas dan tak pernah malu bertanya jika tidak faham. Tinggal di asrama banyak membantu saya fokus pada pelajaran. Terima kasih guru,” katanya.