BATU PAHAT – Keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz meletakkan semua jawatan dalam UMNO dan memilih menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menggoyahkan kerajaan sedia ada kerana kedua-dua parti ini berada dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, biarpun tindakan Tengku Zafrul dianggap sebagai satu kehilangan namun ia tidak akan menjejaskan hubungan dengan PKR dan Kerajaan Perpaduan ini perlu kekal sehingga tamat penggal.
Ditanya gesaan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh agar Tengku Zafrul meletakkan jawatan dalam Kabinet, Johari bagaimanapun menegaskan ia dibawah kuasa dan keputusan Perdana Menteri.
“Datuk Seri Zafrul tidak terikat dengan akta anti lompat parti kerana statusnya sebagai senator yang tidak terikat dengan akta berkenaan,”katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani di Dewan Serbaguna Taman Melodi LP Kampung Parit Bilal, Batu Pahat hari ini.
Semalam, Datuk Seri Tengku Zafrul mengumumkan telah menghantar Surat Perletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti.-https://amiminerals.org/