RANTAU PANJANG – Hasrat seorang tekong darat untuk mendapat upah hasil membawa tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh tidak kesampaian apabila dicekup di simpang tiga Kampung Kubang Kuau di sini kelmarin.
Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki pemandu dan tiga PATI itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam semasa Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan kenderaan tersebut selepas mendapati dia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa tiga lelaki warga Bangladesh dengan dua daripada mereka menunjukkan pasport yang meragukan.
“Seorang lagi penumpang bagaimanapun tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemandu kenderaan itu yang berusia 29 tahun turut ditahan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pemandu kenderaan itu disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga PATI itu di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama. – https://amiminerals.org/